Monday, January 25, 2010

MEMPERTAHANKAN JATI DIRI MUSLIM

Oleh: Lokman Ismail


Umat Islam di seluruh dunia hari ini semakin diserang dan dihimpit dengan masalah yang menyebabkan terhakisnya jati diri sebagai Muslim. Kualiti hidup umat Islam secara umumnya berada pada paras semakin rendah. Biarpun bilangan umat Islam ramai, namun keadaannya seperti buih di lautan.


Keadaan ini perlu dipantau dan diatasi segera. Sekiranya tidak ada usaha mempertahankan jati diri Muslim, pada dekad akan dating menyaksikan umat Islam kembali berada pada zaman era penjajahan. Sekarang ini sudah ada beberapa buah Negara Islam ‘dijajah’ oleh kuasa besar secara nyata, dan banyak lagi yang jadi pak turut.

Apa yang berlaku sebenarnya adalah bukti betapa rapuhnya jati diri Muslim. Umat Islam seperti tidak lagi mempunyai keyakinan untuk bebas daripada cengkaman bukan Islam. Umat Islam seperti tercari-cari identiti baru yang bersumberkan barat. Sedangkan sebenarnya, Islam telah menjelaskan peraturan hidup yang perlu diikuti setiap penganutnya.


Didapati ramai umat Islam hanya Islam pada namanya, tetapi tidak pada akidah dan amalan kehidupan sehariannya. Nilai hidup umat Islam semakiin jauh daripada apa yang sepatutnya sebagai seorang Muslim. Keyakinan untuk mengamalkan cara hidup Muslim semakin hilang.

Keadaan ini menjadi semakin genting apabila ada pihak yang memang bermaksud memisahkan umat Islam daripada nilai-nilai hidup mulia yang menjadi teras kekuatan Islam. Musuh Islam sedar, amat sukar untuk mempengaruhi agar penganut Islam keluar daripada agama benar ini. Justru, apa yang mampu dilakukan musuh Islam ialah menghakis jati diri muslim.


Isu penyelewengan ajaran Islam, ancaman sekulerisme, globalisasi, teknologi maklumat dan tekanan terhadap umat Islam semakin memporak-pondakan jati diri Muslim. Serangan yang bertubi-tubi ini tidak mampu diatasi dalam keadaan umat Islam sendiri tidak bersatu.


Keadaan paling membahayakan dalam masyarakat Islam adalah ancaman kewujudan munafik modern. Golongan ini menampakkan diri dengan label Islam, tetapi jauh di sudut hati, mereka mempermainkan dan merendahkan kemurnian agama itu sendiri. Mereka menggunakan agama untuk mencari kedudukan dan penghormatan.

Golongan ini menimbulkan kekeliruan dan perpecahan umat Islam. Mereka sanggup membelakangkan ajaran Islam yang diketahuinya benar, tetapi menimbulkan satu yang bertentangan demi kepentingan pribadi dan kelompok mereka.


Perbuatan ini lebih berbahaya berbanding apa yang dilakukan secara terang-terang oleh musuh Islam.


Mereka seperti juga golongan orientalis yang mengetahui perkara sebenarnya mengenai Islam, namun melakukan perkara sebaliknya. Pengetahuan mengenai ajaran Islam digunakan untuk melemahkan Islam. Sebab itu, golongan ini mampu mengeluarkan hujah-hujah yang kelihatan seperti ‘sempurna’ yang mudah diterima ramai.

Perkara-perkara yang menyebabkan terhakisnya jati diri Muslim perlu diatasi segera. Minda umat Islam perlu dibuka untuk melihat kebenaran Islam berdasarkan Qur’an, Hadis dan ijmak ulama. Pemikiran yang membawa Islam ke belakang dan semakin lemah nyata bertentangan dengan kesyumulan Islam.


Ajaran Islam sesuai untuk sepanjang zaman. Islam hadhari membawa keperluan umat Islam semasa. Perkakasan yang diperlukan umat Islam kini tentulah berbeza dengan apa yang dilalui dan dilakukan umat Islam terdahulu. Apabila disebut hadhari atau tamadun adalah menunjuk kepada yang semasa.


Justeru, jika umat Islam ingin bersaing dengan bukan Islam, asas yang diperlukan ialah berusaha berubah seiring dengan dunia semasa. Pandangan yang menolak pembaharuan samalah meletakkan Islam sebagai agama kolot. Inilah yang diusahakan oleh orientalis agar Islam terus ketinggalan. Isaha orientalis itu berjaya dengan sokongan dalaman umat Islam sendiri.

Media barat dan musuh Islam sentiasa menimbulkan isu yang bertujuan memperlekehkan kesyumulan Islam. Memandangkan kuasa propaganda barat begitu kuat, ada di kalangan individu muslim mudah terpengaruh atau terikut-ikut dengan ‘rentak’ itu. Hal ini banyak dipengaruhi fahaman bahawa apa yang datang dari barat dianggap betul.


Apa yang berlaku itu bukan sahaja terhadap Islam, bahkan turut dialami di kalangan negara miskin dan sedang membangun. Hakikat ini sebahagian daripada penjajahan baru yang dikenali sebagai neo-kolonialisme. Sifat era kolonialisme masih menebal di kalangan masyarakat yang pernah dianggap tuan. Justru, mereka terus berlagak sebagai tuan melalui kaedah neo-kolonialisme.


Bentuk penjajahan neo-kolonialisme dilakukan tanpa Negara penjajah menguasai tampuk kuasa memerintah dan ketentaraan Negara dijajah. Sebaliknya, mereka menguasai pemikiran serta jiwa rakyat Negara berkenaan dengan menggunakan medium media massa, ideology, muzik, budaya, ekonomi, agama, pendidikan, individu yang dijadikan ikon atau idola, dan sebagainya.


Dalam hal ini, musuh Islam mengambil kesempatan menggunakan kedudukan Negara barat yang berkuasa untuk menindas kebanyakan Negara Islam yang lemah. Dengan kata lain, barat dan musuh Islam mempunyai dua agenda terhadap Negara Islam, mengaut keuntungan melalui neo-kolonialisme dan melemahkan pengaruh Islam.


Oleh itu amat penting setiap individu Islam memperkukuhkan jati diri muslim. Jati diri bermaksud mempertahankan keaslian dan kebenaran seperti mana yang telah ditetapkan tanpa berlaku sebarang perubahan yang akan mengubah keasliannya.


Asas kepada jati diri muslim ialah keteguhan iman di dalam diri. Setiap orang muslim perlu ada di dalam dirinya keyakinan kepercayaan kepada Allah sebagai Tuhan yang disembah dan berkuasa dalam menentukan segala perjalanan hidup manusia dan seluruh isi dunia ini.


Keimanan dan keyakinan kepada kekuasaan Allah perlu tersemat teguh di dalam hati dan dizahirkan melalui sifat-sifat yang membuktikan kepatuhan kepada segala suruhan dan menjauhkan apa yang dilarang.

Individu yang memegang teguh kepada jati diri muslim pada sebilang masa akan mengamalkan perkara yang akan meningkatkan lagi ketakwaannya di sisi Allah. Setiap perkara yang dilakukan berdasarkan kepada kehendak naluri yang dirinya sentiasa hampir (dekat) dengan Allah.


Akidah yang jelas dengan semangat jati diri muslim amat ditakuti oleh musuh-musuh Islam. Musuh Islam sadar kekuatan dalaman dalam diri muslim, tidak mampu dirobek oleh senjata modern. Jadi, kekuatan dalaman itu yang diusahakan untuk dikeluarkan secara beransur-ansur melalui pelbagai pengaruh dan cara.


Barat sentiasa bermegah memperkenalkan dan mengamalkan fahaman yang dianggap terbaik untuk manusia. Mereka lupa bahawa hidup manusia sebenarnya telah dipiagamkan oleh ketetapan hukum.

Sebenarnya, persoalan membelakangkan agama dalam urusan kehidupan bukan sahaja agenda barat terhadap umat Islam, bahkan mereka sendiri terjerat dalam situasi tersebut. Masyarakat barat mengamalkan ideology sekularisme dan konsep dualisme yang memisahkan agama dan pentadbiran Negara. Biarkan si lucai terjun dengan labu-labunya.


Akibat fahaman itu, pihak gereja hilang opengaruh dalam pentadbiran Negara. Kerajaan bebas menentukan dasar dalam Negara dan menafikan kewujudan gereja yang sebelum itu amat berkuasa menentukan dasar kerajaan.


Sekularisme menekankan bahwa urusan Negara diuruskan oleh pemerintah. Manakala soal agama pula ditentukan oleh gereja.

Malangnyam fahaman itu turut menular di kalangan Negara Islam. Sejarah sekularisme paling buruk di kalangan Negara Islam berlaku di Turki sebelum Perang Dunia Kedua. Negara yang pernah menjadi pusat empayar Uthmaniah hilang identity sebagai sebuah Negara Islam. Seluruh system pentadbiran dan cara hidup rakyat bertukar seperti diamalkan di Negara-negara bukan Islam.


Menteri Dalam Negeri Turki pada tahun 1937 pernah membuat kenyataan: “Dengan sekularisme, kita telah membuat kepastian bahawa agama Islam tidak mempengaruhi urusan Negara. Biarlah agama tinggal di masjid-masjid dan di tempat ibadat sahaja. Biar ia tidak keluar dari dunianya”.

Pun, umat Islam masih bernasib baik apabila Turki kekal sebuah Negara Islam, tidak seerti nasib malang umat Islam di Sepanyol. Sepanyol pada sejarah silamnya adalah Negara Islam yang pernah mencapai kecemerlangan dan kegemilangan atas nama kerajaan Cordova.


Fokus utama kewujudan manusia ialah untuk menjadi khalifah di muka bumi.
Firman Allah bermaksud: “Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi ini”. (Surah al-Baqarah, ayat 30).


Tugas khalifah membawa erti perlu melakukan ketaatan kepada Allah dan menguasai ala mini untuk faedah kehidupan manusia sesuai dengan lunas-lunas Islamiah.

Ketaatan kepada Allah merangkumi tugas-tugas yang berkaitan dengan ibadat khusus dan juga segala kepatuhan lain yang ditetapkan sebagai amalan kehidupan sebagai hamba-Nya. Ketetapan tugas melakukan ibadat banyak dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran sebagai memberi peringatan keperluan sebenar tugas manusia di dunia ini.


Islam memandu manusia untuk menuju ke arah kebaikan dan mencegah daripada melakukan keburukan. Jadi, apa yang baik dan indah itu adlaah Islam dan seduatu yang berbentuk keburukan bukan daripada ajaran Islam.


Berdasarkan kepada ketetapan itu, umat Islam bebas melakukan apa sahaja. Bahkan, Rasulullah sendiri menjelaskan bahawa, ‘kamu lebih mengetahui tentang urusan hidup kamu’. Ini jelas membuktikan Islam memberi kebebasan dalam menentukan apa yang baik, sesuai dengan keperluan semasa.


Sudah tiba masanya seluruh umat Islam membina kekuatan sendiri dalam semua aspek terutamanya ekonomi, sosial dan politik agar dapat berdikari, serta mendepani persoalan sejagat yang semakin kompleks. Justeru, jati diri muslim perlu diperkukuhkan yang membawa kepada kekuatan ummah keseluruhannya.


Sekarang ini bukan lagi masa untuk bersenang-senang dan mewujudkan persengketaan sesama sendiri. Umat Islam diseru dan disatuan dalam semangat Islam yang jelas dan murni untuk membentuk jemaah Islam yang kuat. Perbezaan fahaman politik mesti dijauhkan. Kepentingan politik Islam lebih penting berbanding kepentingan politik puak.

Al-Islam Mei 2005